Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Kelima hari ini menyaksikan perbahasan mengenai impak ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia, khususnya berkaitan gangguan perdagangan di Selat Hormuz serta strategi kerajaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026, disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta peningkatan prestasi sektor eksport.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia tidak terlepas daripada kesan ketidaktentuan global termasuk gangguan rantaian bekalan yang memberi impak kepada sektor industri, pertanian, makanan serta pasaran buruh.

Namun begitu, kerajaan menurut beliau sentiasa memantau perkembangan tersebut secara berasaskan data serta melaksanakan penyelarasan intervensi yang responsif bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.

-Advertisement-

YB Menteri turut menegaskan bahawa keutamaan utama kerajaan adalah memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas, termasuk menjamin kesinambungan bekalan barangan keperluan serta kelancaran aktiviti ekonomi bagi mengekalkan daya tahan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menjadi asas penting dalam memperkukuh struktur ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti, pembangunan industri bernilai tinggi, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta penerokaan bidang baharu seperti ekonomi digital, teknologi hijau dan sektor strategik masa hadapan.

Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan yang pragmatik dan berpaksikan kepentingan negara dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global, sambil memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara sentiasa menjadi keutamaan. – The Capital Post