PUTRAJAYA 4 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Digital memperkukuh komitmennya dalam membudayakan integriti dan tadbir urus cemerlang menerusi penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR), sebagai usaha mempertingkatkan kepercayaan awam serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang telus dan berakauntabiliti.
Majlis tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar, bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian, serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato’ TKPj Azmi Kamaruzaman.
Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah ini mencerminkan iltizam seluruh warga Kementerian Digital untuk mengekalkan standard integriti yang tinggi dalam setiap aspek pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus sektor awam.
-Advertisement-
Melalui inisiatif ini, kementerian turut menegaskan kepentingan nilai ketelusan, akauntabiliti dan etika kerja dalam membentuk budaya organisasi yang bebas daripada sebarang amalan rasuah serta salah guna kuasa.
Majlis tersebut diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Kementerian Digital dalam membina persekitaran kerja yang berintegriti, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem digital negara yang lebih dipercayai, berdaya saing dan mampan. – The Capital Post