Pembentukan Sahsiah Wajar Menjadi Teras Sistem Pendidikan

Estimate Reading Time: 3 minutes

Setiap kali berlaku sesuatu isu melibatkan pelajar, sama ada kes buli, pergaduhan, salah laku atau kehilangan adab, persoalan yang sering timbul ialah, “Di mana silapnya?” Ada yang menyalahkan institusi pendidikan, ada yang menyalahkan ibu bapa, malah ada juga yang berpendapat media sosial menjadi punca utama. Hakikatnya, tiada satu jawapan yang mudah. Apa yang pasti, setiap insiden mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membentuk nilai, akhlak dan tanggungjawab.

Pemikiran inilah yang muncul ketika saya mengikuti drama Korea, ‘Teach You a Lesson’. Walaupun jalan ceritanya bersifat fiksyen dan dipenuhi elemen aksi, drama tersebut mengangkat persoalan yang wajar direnungkan oleh semua pihak: apakah yang berlaku apabila pendidikan gagal membentuk manusia, dan siapakah yang perlu memikul tanggungjawab untuk memperbetulkannya? Persoalan ini bukan hanya relevan di Korea, malah dekat dengan realiti yang sedang kita hadapi di Malaysia.

Sejak sekian lama, kejayaan pendidikan sering diukur berdasarkan keputusan peperiksaan, bilangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang atau kemasukan ke universiti ternama. Ia menjadikan seolah-olah, keputusan cemerlang sahaja penting. Penanda aras ini sememangnya penting kerana kecemerlangan akademik membuka peluang kepada masa depan yang lebih baik. Namun, dalam dunia hari ini, adakah ukuran tersebut sahaja sudah memadai? Adakah pelajar dengan semua A sudah cukup?

Kita hidup dalam era yang menyaksikan ilmu berada di hujung jari. Teknologi membolehkan sesiapa sahaja memperoleh maklumat dengan pantas, mempelajari kemahiran baharu dan berhubung tanpa sempadan. Namun, dalam masa yang sama, masyarakat masih berdepan dengan pelbagai cabaran seperti buli, penipuan dalam talian, penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan sikap tidak bertanggungjawab di media sosial. Fenomena ini menunjukkan bahawa memiliki ilmu tidak semestinya melahirkan individu yang mempunyai nilai dan integriti.

Inilah cabaran sebenar pendidikan pada abad ke-21. Pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik atau kebolehpasaran graduan semata-mata. Ia perlu melahirkan individu yang mampu berfikir secara kritis, membuat keputusan yang beretika, menghormati perbezaan serta menggunakan ilmu untuk kebaikan masyarakat. Nilai seperti empati, amanah, hormat dan tanggungjawab mungkin sukar diukur melalui peperiksaan, tetapi nilai-nilai inilah yang menentukan kualiti seseorang apabila berhadapan dengan cabaran kehidupan sebenar.

Dalam konteks Malaysia, usaha memperkukuh pendidikan nilai sentiasa menjadi sebahagian daripada aspirasi sistem pendidikan negara. Namun, pembentukan sahsiah bukanlah tanggungjawab institusi pendidikan semata-mata. Ibu bapa merupakan pendidik pertama dalam kehidupan anak-anak, manakala masyarakat pula menjadi persekitaran yang membentuk cara mereka berfikir dan bertindak. Apa yang dipelajari di dalam bilik darjah perlu disokong oleh contoh yang baik di rumah dan dalam komuniti. Tanpa kerjasama semua pihak, usaha melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak akan menjadi semakin mencabar.

-Advertisement-

Hakikatnya, pendidikan tidak berakhir apabila loceng sekolah berbunyi atau apabila seseorang menamatkan pengajian. Pendidikan ialah proses sepanjang hayat yang membentuk cara seseorang membuat keputusan, berinteraksi dengan orang lain dan menghadapi cabaran kehidupan. Nilai seperti kejujuran, empati, rasa hormat dan tanggungjawab tidak terbentuk dalam sehari, tetapi dipupuk melalui pengalaman, teladan dan budaya yang diamalkan setiap hari. Sebab itu, kejayaan pendidikan tidak boleh diukur hanya berdasarkan pencapaian akademik, tetapi juga melalui keupayaannya melahirkan insan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Mungkin sudah tiba masanya kita mengubah cara kita mentafsir kejayaan pendidikan. Selain meraikan keputusan peperiksaan yang cemerlang, kita juga perlu bertanya sama ada sistem pendidikan kita berjaya melahirkan individu yang jujur, berintegriti, menghormati orang lain dan sanggup menyumbang kepada masyarakat. Kerana akhirnya, negara tidak hanya memerlukan individu yang pintar, tetapi juga warganegara yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

Drama ‘Teach You a Lesson’ mungkin hanya sebuah karya fiksyen, tetapi persoalan yang dibawanya wajar direnungkan. Pendidikan bukan sekadar tentang mengisi minda dengan ilmu, tetapi membentuk hati, sikap dan karakter. Apabila kita berjaya melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak berfikir tetapi juga bijak membuat pertimbangan moral, ketika itulah pendidikan benar-benar mencapai matlamatnya. Itulah pelajaran paling penting yang perlu kita bawa ke hadapan demi masa depan Malaysia.

 

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dan beliau boleh dihubungi di syazwani.ahmad@um.edu.my

 

Pandangan yang dikemukakan adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian The Capital Post.