Pembedahan Kembar Siam Berjaya di Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU 6 Julai 2026 (The Capital Post) – Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencatatkan pencapaian bersejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kembar siam jenis pygopagus pada 2 Julai 2026 di Dewan Bedah Utama hospital berkenaan.

 

Pembedahan kompleks itu melibatkan pasangan kembar perempuan pramatang yang dilahirkan pada usia 32 minggu dan berasal dari kawasan pedalaman Sabah. Salah seorang daripada bayi tersebut dilaporkan mengalami komplikasi kesihatan termasuk masalah jantung serta kegagalan buah pinggang, sekali gus memerlukan intervensi awal bagi memastikan kelangsungan nyawa kedua-duanya.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kembar siam jenis pygopagus merujuk kepada keadaan percantuman di bahagian tulang belakang bawah termasuk kawasan sacrum, struktur saraf, serta sebahagian sistem pencernaan dan reproduktif. Dalam kes ini, pembedahan pemisahan terpaksa dilakukan lebih awal iaitu ketika usia 28 hari berbanding tempoh lazim antara empat hingga enam bulan.

Prosedur berisiko tinggi itu dijalankan melalui kerjasama pelbagai disiplin kepakaran termasuk pasukan neonatologi, anestesiologi, pembedahan pediatrik, neurosurgeri, pembedahan plastik dan rekonstruktif serta radiologi, dengan sokongan jururawat dan petugas klinikal. Pakar dari Semenanjung turut terlibat bagi memperkukuh kepakaran dalam mengendalikan kes kompleks berkenaan.

-Advertisement-

Kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dengan selamat dan kini berada dalam keadaan stabil, sebelum dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti keupayaan sistem kesihatan negara dalam menangani kes anomali kongenital kompleks, selain mencerminkan komitmen berterusan petugas kesihatan dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit kanak-kanak.

Kejayaan ini juga memperkukuh akses rawatan kepakaran di Sabah, sekali gus mengurangkan keperluan pemindahan pesakit ke luar negeri dan meringankan beban emosi, kewangan serta logistik keluarga pesakit. – The Capital Post