Penjagaan Mata Sepanjang Hayat: Mengenali Masalah Penglihatan

Estimate Reading Time: 4 minutes

Ia mungkin bermula dengan tanda yang kecil – seorang kanak-kanak yang selalu sengetkan kepalanya semasa menonton TV. Seorang murid yang mengecilkan mata untuk melihat papan putih di dalam kelas. Atau ibu bapa yang mula mengelakkan pemanduan malam kerana lampu kenderaan lain terlalu menyilaukan. Masalah mata jarang sekali menunjukkan tanda yang jelas. Selalunya, tanda pertama hanyalah juling yang kecil.

Dr Fazilawati Binti A Qamarruddin, Perunding Oftalmologi dan Oftalmologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menyatakan bahawa dua keadaan yang sering diabaikan yang melibatkan rakyat Malaysia tanpa mengira usia ialah juling (secara perubatan dikenali sebagai strabismus) dan katarak. “Juling berlaku apabila kedudukan mata tidak selari dan memandang ke arah yang berbeza. Sebelah mata mungkin memandang lurus manakala sebelah lagi tertumpu ke dalam, luar, atas atau bawah,” jelas beliau.

Juling Bukan Sekadar Masalah Kanak-Kanak

Juling (strabismus) dan katarak adalah dua keadaan yang biasa menjejaskan rakyat Malaysia tetapi kerap diabaikan.

Juling (strabismus) adalah biasa dan boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia, yang menjejaskan penglihatan, persepsi kedalaman, pembelajaran, serta keyakinan diri. Ia sering berpunca daripada ralat biasan yang tidak dirawat tetapi boleh juga disebabkan oleh masalah saraf, atau defisit neurologi, trauma, dan tumor pada otak atau orbit. Dalam kalangan orang dewasa, juling boleh berterusan sejak kecil atau muncul tiba-tiba. Jika mengalami penglihatan berganda, segera dapatkan pemeriksaan doktor terutamanya untuk mengecualikan sebarang tumor pada otak dan orbit.

Secara global, kajian menganggarkan antara 2% dan 4% kanak-kanak menghidap strabismus. Walaupun angka itu nampak kecil, ia melibatkan ribuan kanak-kanak di Malaysia. Namun, banyak kes tidak dikesan sehingga prestasi akademik atau keyakinan sosial terjejas.

“Jika seorang kanak-kanak mengalami rabun jauh yang tinggi, usaha untuk fokus boleh menyebabkan mata juling ke dalam. Dalam kebanyakan kes, mata akan kembali lurus sebaik sahaja kanak-kanak itu memakai cermin mata yang betul. Walau bagaimanapun, sekiranya anak tiba-tiba menjadi juling, kita perlu melakukan pemeriksaan dengan segera,” kata Dr Fazilawati. Ini adalah untuk mengecualikan keadaan yang mengancam nyawa seperti tumor.

Risiko “Mata Malas” dan Pentingnya Saringan

Salah satu kesan serius juling yang tidak dirawat ialah ambliopia, atau lebih dikenali sebagai ‘mata malas’. Apabila sebelah mata melihat dengan jelas dan sebelah lagi tidak, otak akan mula mengutamakan mata yang lebih kuat. Lama-kelamaan, mata yang lemah kurang dirangsang. “Secara automatik, otak akan gunakan mata yang lebih jelas. Mata yang lemah pula tidak digunakan dan akhirnya menjadi ‘malas’ kerana tiada rangsangan,” jelas Dr Fazilawati.

Inilah sebabnya mengapa saringan awal amat kritikal. Menurut Dr Fazilawati, saringan penglihatan sebaiknya dibuat pada usia tiga tahun dan sekali lagi sebelum masuk ke sekolah rendah. Di Malaysia, kajian menunjukkan bahawa ralat biasan adalah antara masalah mata yang paling lazim dan boleh dirawat dengan mudah menggunakan cermin mata jika dikesan awal.

“Jika anak anda sengetkan kepala, kerap mengecilkan mata, duduk terlalu dekat dengan TV, atau mengadu sakit kepala, jangan tunggu pihak sekolah untuk menegurnya. Bawalah anak anda untuk pemeriksaan mata yang lengkap. Pengesanan awal boleh menjadi perbezaan antara hanya perlu memakai cermin mata biasa atau berdepan masalah penglihatan seumur hidup,” katanya.

Katarak: Proses Penuaan Semulajadi yang Boleh Dirawat

Katarak adalah perkara biasa dalam kalangan warga emas di Malaysia. Ia yang menyebabkan penglihatan kabur, silau, warna kelihatan pudar, dan kesukaran memandu pada waktu malam. Walaupun kebanyakannya melibatkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, ia boleh berlaku lebih awal bagi pesakit diabetes, perokok, atau mereka yang kerap terdedah kepada cahaya matahari. Di Malaysia, katarak yang tidak dirawat, retinopati diabetik, dan glaukoma merupakan punca utama buta dalam kalangan dewasa.

Menurut Dr Fazilawati, pemeriksaan mata awal adalah penting kerana cermin mata mungkin boleh membantu melambatkan keperluan pembedahan. “Apabila cermin mata tidak lagi membantu dan aktiviti harian terjejas, barulah kita mempertimbangkan pembedahan. Walau bagaimanapun, ramai orang dewasa hanya mendapatkan rawatan apabila penglihatan mereka sudah terjejas teruk,” jelas beliau.

-Advertisement-

Pembedahan katarak moden kini jauh lebih maju daripada yang disangkakan. Teknik fakoemulsifikasi (phacoemulsification) hari ini menggunakan ultrabunyi untuk memecahkan kanta yang keruh melalui hirisan kecil. “Oleh kerana prosedur ini melibatkan hirisan yang lebih kecil, pemulihan secara amnya lebih cepat dan banyak kes boleh dilakukan sebagai pembedahan harian. Kebanyakan pesakit boleh kembali melakukan aktiviti ringan dalam masa seminggu, dengan pemulihan visual penuh biasanya dalam tempoh dua minggu,” jelas Dr Fazilawati.

Masa Skrin, Gaya Hidup dan Cara Menjaga Kesihatan Mata

Masa skrin menjadi kebimbangan yang semakin meningkat, terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja, yang menyumbang kepada rabun jauh lebih teruk.

Bagi dewasa, merokok, diabetes yang tidak terkawal, dan pendedahan UV yang berlebihan boleh meningkatkan risiko katarak dan masalah penglihatan lain. Namun dalam dunia digital hari ini, masa skrin menjadi kebimbangan yang semakin meningkat, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja.  Penggunaan boleh menyebabkan  masalah rabun jauh yang semakin teruk.

Dr Fazilawati menasihatkan peraturan mudah 20-20-20. “Setiap 20 minit melihat skrin, ambil masa 20 saat untuk melihat sesuatu sejauh 20 kaki.”

Jangan Tunggu Simptom Muncul

Pemeriksaan mata penting pada setiap peringkat usia, dengan kanak-kanak disaring sebelum memulakan sekolah dan orang dewasa dari usia 40 tahun.

Keadaan mata selalunya merosot secara beransur-ansur, menjadikan pengesanan awal sangat penting untuk rawatan yang berkesan.

“Jadualkan pemeriksaan mata pada usia 40 tahun, dan bagi kanak-kanak, sebelum sekolah bermula. Orang dewasa yang menghidap diabetes perlu menjalani saringan tahunan memandangkan retinopati diabetik bersifat progresif tetapi boleh dirawat jika dikesan awal,” kata beliau.

Pengesanan awal membantu meningkatkan pembelajaran, keupayaan berdikari, dan kualiti hidup. Menangguhkan pemeriksaan boleh menyebabkan terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan yang mudah.

 

Disediakan oleh Dr Fazilawati Binti A Qamarruddin, Perunding Oftalmologi dan Oftalmologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway 

 

Pandangan yang dikemukakan adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian The Capital Post.