AYER KEROH: DAP Melaka dijangka mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka petang ini sebagai bantahan terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka.
Menurut sumber, tindakan itu dibuat susulan keputusan kerajaan negeri meneruskan pindaan perlembagaan bagi memperkenalkan tujuh pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.
DAP dijangka melepaskan semua jawatan yang disandang dalam pentadbiran negeri, termasuk seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dua Timbalan Exco, seorang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), selain semua Ketua Kampung dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mewakili parti itu.
Antara yang dijangka melepaskan jawatan ialah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah; Timbalan Exco Low Chee Leong dan Leng Chau Yen; serta Timbalan Speaker DUN Melaka, Kerk Chee Yee.
-Advertisement-
Sumber DAP memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa satu sidang media khas akan diadakan oleh Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, dan dijangka turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Sidang media itu dijadual diadakan selepas pembentangan pindaan perlembagaan berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. – Astro Awani