PUTRAJAYA 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 14/2026 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan negara menerusi tiga keutamaan utama iaitu keterjaminan makanan, keselamatan domestik dan sempadan serta daya tahan sektor pembuatan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bagi membincangkan langkah-langkah strategik untuk memastikan ekonomi negara kekal stabil di tengah-tengah perkembangan geopolitik antarabangsa.
Mesyuarat dimaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau kesan perkembangan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran terhadap ekonomi negara. Dalam masa sama, bekalan petroleum bagi memenuhi keperluan domestik disahkan berada pada tahap mencukupi dan dijangka mampu menampung permintaan sehingga Disember 2026.
Dalam aspek keterjaminan makanan, kerajaan menegaskan bekalan makanan ruji negara kekal stabil dengan stok penimbal beras yang mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik sehingga enam bulan. Harga Beras Putih Tempatan juga akan terus dikekalkan sebagai langkah memastikan rakyat memperoleh bekalan makanan asas pada harga yang berpatutan.
-Advertisement-
MTEN turut meneliti isu keselamatan domestik serta pengurusan pelarian sebagai antara agenda penting negara. Kerajaan menegaskan bahawa kad yang dikeluarkan oleh UNHCR bukan merupakan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang Malaysia, selaras dengan usaha mengekalkan keseimbangan antara aspek kemanusiaan dan keselamatan negara.
Selain itu, mesyuarat turut mendengar pandangan daripada wakil industri termasuk Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA) mengenai cabaran yang dihadapi sektor pembuatan susulan peningkatan kos bahan mentah, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan global. Seusai mesyuarat, Menteri Ekonomi turut mengadakan sidang media bagi menjelaskan keputusan MTEN serta memberikan perkembangan terkini mengenai prestasi ekonomi negara bagi suku kedua tahun 2026. – The Capital Post