PUTRAJAYA 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneruskan usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menerusi Program Kembara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Stesen Minyak 2026 bagi meningkatkan kesedaran terhadap amalan kerja selamat dalam sektor petroleum runcit.
Program tersebut dimulakan menerusi majlis pelepasan konvoi yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, YBrs. Encik Sutekno Ahmad Belon di Dewan Serbaguna Setia Perkasa 3, Putrajaya.
Anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), BHPetrol dan PETRONAS, program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperluas pemahaman berkaitan aspek pencegahan risiko serta kepentingan pematuhan standard keselamatan di tempat kerja.
Dalam ucapan beliau, Sutekno menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan elemen penting dalam pembangunan negara kerana mampu melindungi kebajikan pekerja, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh keupayaan industri untuk bersaing.
-Advertisement-
Beliau turut menyeru semua pihak khususnya pengusaha dan pekerja sektor stesen minyak agar menjadikan amalan pencegahan risiko sebagai budaya harian memandangkan persekitaran kerja tersebut melibatkan pelbagai cabaran operasi dan aspek keselamatan.
Program Kembara KKP Stesen Minyak 2026 turut menjadi medium advokasi serta platform kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri dalam memperkasa budaya kerja yang lebih selamat, sihat dan mampan demi kesejahteraan pekerja. – The Capital Post