Jabatan Penjara Perkukuh Integriti dan Hala Tuju Organisasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KAJANG 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Penjara Malaysia memperkukuh komitmen terhadap integriti, kepimpinan dan kecemerlangan organisasi menerusi Majlis Perhimpunan dan Dialog Bulanan Ibu Pejabat Penjara Malaysia bagi Julai 2026 yang berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), YBrs. TKJP Zaidi Hamid yang menekankan kepentingan setiap warga jabatan untuk terus mengekalkan nilai integriti dalam melaksanakan tanggungjawab serta menjaga imej organisasi sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang mendapat kepercayaan masyarakat.

Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa integriti perlu dizahirkan melalui tindakan, keputusan dan pelaksanaan tugas harian, bukan sekadar menjadi prinsip yang dipegang secara teori. Menurut beliau, profesionalisme serta sikap setiap warga kerja menjadi asas kepada keyakinan masyarakat terhadap Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau turut mengingatkan ketua bahagian dan ketua unit supaya memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam memastikan semua dasar, arahan dan inisiatif jabatan dilaksanakan dengan berkesan serta selaras dengan perancangan strategik organisasi.

-Advertisement-

Pada majlis berkenaan, penghargaan turut diberikan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan prestasi cemerlang mereka. Penghargaan tersebut diharap dapat menjadi pendorong kepada seluruh warga jabatan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

Selain itu, majlis turut menampilkan sesi taklimat daripada United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) Malaysia berkaitan pendaftaran dan pengesahan status pelarian serta perlindungan suaka politik. Sambutan Mandela Day turut dilancarkan sebagai simbol komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkukuh nilai kemanusiaan, proses pemulihan dan peluang kedua kepada individu dalam sistem pemulihan.

Jabatan Penjara Malaysia kekal komited membina budaya kerja berintegriti, memperkasa kepimpinan serta meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan selaras dengan aspirasi “Penjara Selamat, Berdaya Huni dan Menginspirasikan Harapan”. – The Capital Post