KUALA LUMPUR 1 Ogos 2026, (The Capital Post) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menerbitkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus institusi berkenaan.
Menurut IKIM, tindakan tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan masyarakat, khususnya para pendeposit Tabung Haji, memperoleh penjelasan yang menyeluruh mengenai pengurusan institusi yang menjadi amanah umat Islam di negara ini.
IKIM menegaskan bahawa Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan, malah merupakan institusi Islam yang telah memainkan peranan penting selama lebih enam dekad dalam membantu umat Islam menyimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji serta menguruskan operasi jemaah Malaysia dengan cekap. Kejayaan itu turut menjadikan Tabung Haji sebagai antara model pengurusan simpanan dan haji yang dihormati di peringkat antarabangsa.
-Advertisement-
Dalam kenyataannya, IKIM berpandangan laporan RCI perlu dijadikan asas untuk mengambil iktibar, mengenal pasti kelemahan serta memperkukuh pembaharuan institusi, dan bukannya dijadikan bahan polemik atau menjatuhkan hukuman awal terhadap mana-mana pihak. Sebarang dapatan serta syor yang dikemukakan wajar dinilai secara menyeluruh berdasarkan fakta.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, dari perspektif Islam, pengurusan simpanan pendeposit merupakan satu amanah besar yang perlu berlandaskan prinsip menjaga harta (hifz al-mal), keadilan, ketelusan dan integriti. Beliau turut menyeru agar pelaksanaan syor RCI memberi keutamaan kepada kepentingan pendeposit, pematuhan Syariah, pengurusan risiko yang berhemah serta kemampanan Tabung Haji, di samping memberi ruang kepada kerajaan dan TH melaksanakan penambahbaikan secara tersusun demi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi itu. – The Capital Post