CYBERJAYA, 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) dalam usaha memperkasa profesion perhubungan awam serta meningkatkan standard tadbir urus industri komunikasi negara.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil menerima kunjungan hormat daripada delegasi IPRM pada 6 Ogos lalu di Pusat Latihan Malaysian Press Institute (MPI), Cyberjaya, Selangor.
Pertemuan tersebut memberi fokus kepada usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak, termasuk membincangkan inisiatif bagi mempertingkat profesionalisme dalam bidang perhubungan awam yang semakin memainkan peranan penting dalam landskap komunikasi negara.
-Advertisement-
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah cadangan penggubalan Akta Perhubungan Awam oleh IPRM, yang dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan standard profesional serta menyokong pembangunan industri perhubungan awam yang lebih berdaya saing di Malaysia.
Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad; Presiden IPRM, Jaffri Amin; serta Pengarah IPRM, Dato’ Sri Ibrahim Abdul Rahman, yang bersama-sama bertukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan profesion perhubungan awam negara. – The Capital Post