MOSTI Perkasa MCY 2026 Melalui Penilaian Upaya

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan komitmennya dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi negara menerusi pelaksanaan Sesi Penilaian Upaya (Due Diligence) di bawah inisiatif Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2026.

Sejak diperkenalkan pada 2016, inisiatif MCY menjadi platform strategik bagi memperkasakan ekosistem Research, Development, Commercialisation and Innovation (RDCI), sekali gus menyokong pembangunan mampan serta memperkukuh rantaian nilai pengkomersialan hasil penyelidikan negara.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan budaya inovasi dan daya cipta, MCY kini memasuki fasa ketiga pelaksanaannya, iaitu MCY 3.0, dengan memberi penekanan kepada usaha membawa hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi tempatan ke pasaran antarabangsa.

-Advertisement-

Bagi menyokong matlamat tersebut, MOSTI meneruskan pelaksanaan Sesi Penilaian Upaya sebagai salah satu inisiatif utama MCY 2026. Proses penilaian ini bertujuan menilai tahap kesediaan produk, teknologi dan perkhidmatan untuk dikomersialkan sebelum disenaraikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Khas MCY 2026.

Pelaksanaan sesi penilaian berkenaan dijangka dapat mengenal pasti inovasi berpotensi tinggi yang mampu dipacu ke peringkat komersial, sekali gus meningkatkan daya saing teknologi tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi. – The Capital Post