KUANTAN 11 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Majlis Konvokesyen ADTEC JTM Kali Ke-29 Tahun 2026 Wilayah Timur yang berlangsung semalam, 10 Ogos 2026, di Kuantan.
Majlis tersebut meraikan kejayaan graduan daripada enam institusi ADTEC JTM, sekali gus menjadi wadah mengiktiraf pencapaian akademik serta penguasaan kemahiran teknikal yang diperlukan bagi menghadapi keperluan industri masa hadapan.
Sidang pertama konvokesyen dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Datuk Haji Azman bin Mohd Yusof, manakala sidang kedua disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, YBrs. Dr. Haji Mohd Shaharin bin Umar.
Kedua-dua sidang menghimpunkan graduan dari ADTEC JTM Kampus Jerantut, Kuantan, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Seramai 175 graduan diraikan dalam sidang pertama, manakala 182 graduan menerima pengiktirafan pada sidang kedua.
Penganjuran konvokesyen berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian pendidikan, malah mencerminkan usaha graduan menguasai kemahiran serta menunjukkan ketekunan dan komitmen sepanjang tempoh pengajian sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.
-Advertisement-
Penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional dilihat penting dalam membantu memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain menyokong pertumbuhan sektor industri dan pembangunan ekonomi negara.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, KESUMA terus memberikan penekanan terhadap pemerkasaan TVET bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta perubahan landskap pekerjaan.
Pendekatan tersebut turut menyokong nilai Kesejahteraan dan Daya Cipta melalui pembangunan modal insan, peningkatan penguasaan teknologi serta pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.
KESUMA merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan ADTEC JTM Wilayah Timur dan berharap ilmu, kemahiran serta pengalaman yang diperoleh dapat menjadi asas kukuh kepada pembentukan kerjaya serta sumbangan mereka terhadap pembangunan industri dan negara. – The Capital Post