KUALA LUMPUR 11 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan sembilan warga asing dalam operasi khas yang dijalankan pada 9 Ogos 2026 susulan penularan video di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo JIM serta lampu mata arah.
Operasi yang bermula kira-kira jam 4.30 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak dan Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Hasil serbuan di lokasi pertama, seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai individu dalam video berkenaan berjaya ditahan. Pemeriksaan di premis turut membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di Malaysia. Dua pasport warga Indonesia yang dipercayai milik individu lain turut ditemukan dalam simpanan lelaki berkenaan.
Lelaki warga Pakistan tersebut disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita warga Indonesia berkenaan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Susulan tangkapan tersebut, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan dalam video tular berkenaan. Kenderaan itu ditemukan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, sebelum pemiliknya yang merupakan warga Pakistan berjaya ditahan.
-Advertisement-
Pemeriksaan di premis berkenaan turut membawa kepada penahanan lapan pekerja asing, terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India. Pemilik kenderaan tersebut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan sebenarnya diambil pada April 2025 dan hanya dimuat naik ke status WhatsApp pada 7 Ogos 2026 oleh isteri individu terbabit ketika berada di Indonesia.
Pemilik kenderaan turut mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah tersebut untuk kegunaan peribadi tanpa tujuan rasmi. Beliau mendakwa tidak mengetahui perbuatan tersebut melanggar undang-undang serta memaklumkan bahawa logo dan lampu berkenaan telah ditanggalkan sebelum video tersebut tular.
Kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan terbabit telah dibawa ke Pejabat Imigresen bagi menjalani siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
JIM menegaskan pendirian untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang berpotensi mengelirukan masyarakat serta menjejaskan imej dan integriti agensi. Penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara. – The Capital Post