PUTRAJAYA, 31 Ogos 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa ikhtiar baharu Kerajaan MADANI bagi menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.
Dalam kenyataan menerusi Facebook selepas menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 semalam, Anwar berkata langkah berkenaan meliputi kelayakan BUDI MADANI, peruntukan prasarana pendidikan untuk semua jenis sekolah serta langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu di klinik serta hospital kerajaan, selain menaikkan ambang pengecualian e-Invois dan meningkatkan dana pinjaman bagi usahawan serta peniaga kecil.
-Advertisement-
Menurut Anwar, langkah tersebut diharap dapat membantu meringankan beban rakyat dan memberi makna kepada sambutan kemerdekaan tahun ini.
Beliau turut memaklumkan beberapa pengumuman lain akan disampaikan semasa sambutan Hari Malaysia di Sarawak serta melalui pembentangan Belanjawan 2027.
Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara rakyat dan memastikan kejayaan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung demi kehidupan lebih sejahtera dan bermaruah. – The Capital Post