HRPB Ketengahkan Rawatan Strok Dan Bekalan Darah

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH, 3 September 2026 (The Capital Post) – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menjadi satu-satunya hospital di Perak yang dilawati menerusi program Kembara Kesihatan Bersama Media, sekali gus membuka ruang kepada pengamal media mengenali lebih dekat perkhidmatan kesihatan serta kepakaran yang ditawarkan hospital berkenaan.

Program yang berlangsung pada 2 September itu turut disertai wakil Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta rombongan media dari Kuala Lumpur dan Perak.

Antara perkhidmatan yang diberi tumpuan ialah Unit Neurologi, Jabatan Perubatan dan Jabatan Perubatan Transfusi yang mempunyai kepentingan besar kepada masyarakat.

Di Unit Neurologi, rombongan diperkenalkan kepada pengurusan strok termasuk kepentingan mendapatkan rawatan segera serta laluan trombolisis 24 jam bagi pesakit yang memenuhi kriteria. Penekanan turut diberikan terhadap kesedaran mengenali tanda awal strok menerusi konsep “Time is Brain”.

-Advertisement-

Sementara itu, Jabatan Perubatan Transfusi memberi pendedahan mengenai proses pengendalian darah bermula daripada pemprosesan dan saringan selepas pendermaan, penyimpanan sehingga pembekalan kepada hospital.

HRPB merupakan satu-satunya pusat pemprosesan dan saringan darah di Perak, menjadikan fasiliti berkenaan penting dalam memastikan bekalan darah yang selamat dan berkualiti sentiasa tersedia untuk keperluan rawatan.

Program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara KKM dan media dalam menyampaikan maklumat kesihatan yang tepat kepada masyarakat, khususnya berkaitan kepentingan tindakan pantas ketika berdepan strok serta peranan pendermaan darah. – The Capital Post