PUTRAJAYA, 6 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Audit Negara memuktamadkan proses pengauditan Penyata Kewangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 menerusi Mesyuarat Penutup Pengauditan yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara, Putrajaya, semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan dihadiri Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Bendahari UTM, Tuan Haji Abu Bakar bin Mohd Salleh@Ahmad serta barisan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat subsidiari UTM.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Encik Azman bin Mahmood; Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Encik Azunan bin Daud serta Pengarah Audit Kewangan 3, Encik Mohd Fisul bin Ismail.
Mesyuarat berkenaan turut disertai wakil Kementerian Pendidikan Tinggi dan firma audit swasta yang terlibat dalam proses berkaitan penyata kewangan universiti berkenaan.
-Advertisement-
Pada penghujung mesyuarat, Ketua Audit Negara menyempurnakan sesi menandatangani serta menyerahkan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan UTM bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 kepada Naib Canselor UTM.
Penyempurnaan proses berkenaan mencerminkan komitmen terhadap tadbir urus kewangan dan akauntabiliti dalam pengurusan institusi pendidikan tinggi negara. – The Capital Post