Tambang ECRL Belum Dimuktamadkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 7 September 2026 (The Capital Post) – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjelaskan bahawa kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kembali tular di media sosial baru-baru ini masih belum dimuktamadkan.

MRL menegaskan bahawa maklumat mengenai kadar tambang yang tersebar adalah tidak tepat dan tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

Menurut MRL, kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia selepas proses penilaian serta kelulusan berkaitan selesai.

Dalam pada itu, MRL menghargai keterujaan dan minat orang ramai terhadap projek ECRL, namun menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Orang ramai disarankan mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia, MRL dan ECRL bagi mengelakkan kekeliruan berhubung tambang serta perkhidmatan yang bakal ditawarkan.

-Advertisement-

MRL turut memberi jaminan bahawa penetapan kadar tambang kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan ECRL.

ECRL dijangka menyediakan pilihan pengangkutan baharu yang mampu mengubah corak mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang. Apabila beroperasi kelak, perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dijangka mengambil masa sekitar empat jam, manakala perjalanan Kuala Terengganu ke Gombak sekitar tiga jam dan Kuantan ke Gombak kira-kira satu jam 35 minit.

MRL berkata pengumuman rasmi berkaitan kadar tambang ECRL dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini, sekali gus memberi gambaran lebih jelas kepada orang ramai mengenai kos penggunaan perkhidmatan tersebut. – The Capital Post