Pendaki Croatia Selamat Diselamatkan Dari Gunung Kinabalu

Estimate Reading Time: < 1 minute

RANAU 11 September 2026 (The Capital Post) – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama lima hari bagi membantu seorang pendaki warga Croatia yang terjatuh di tebing curam Gunung Kinabalu berjaya diselesaikan selepas mangsa selamat dibawa turun ke Pintu Timpohon, malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred, berkata mangsa, Mauro Persic, 46, tiba di Pintu Timpohon pada jam 7.06 malam sebelum diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tulang rusuk sebelah kanan, selain mengalami kerosakan tisu serta beberapa luka ringan pada tangan.

Pemindahan mangsa dari kawasan Panalaban dilakukan dalam keadaan mencabar apabila pasukan penyelamat perlu menempuh laluan berliku sepanjang kira-kira tiga kilometer ketika hujan lebat.

Menurutnya, mangsa dibawa secara berperingkat ke Platform Kilometer 6.5 sebelum pasukan menggunakan kaedah pengusungan berstruktur menggunakan body harness carrier untuk meneruskan perjalanan ke kaki gunung.

-Advertisement-

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau pada jam 7.22 malam menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan susulan, dengan kawalan keselamatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi bersepadu itu membabitkan seramai 43 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ParkSAR, malim gunung, porter serta renjer Sabah Parks.

Misi penyelamatan tersebut akhirnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam selepas mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan berkenaan dengan selamat. – The Capital Post