KUALA LUMPUR 19 September 2026 (The Capital Post) – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil tindakan menggantung tugas serta-merta seorang pekerja syarikat kontraktor susulan insiden pertelingkahan dengan penumpang di Stesen Labu, Selasa lalu.
KTMB dalam kenyataan hari ini menjelaskan individu terbabit bukan kakitangan tetap syarikat berkenaan, sebaliknya merupakan pekerja syarikat kontraktor yang dilantik untuk mengendalikan perkhidmatan di stesen tersebut.
Insiden itu berlaku susulan gangguan perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves–Pulau Sebang selepas sebuah tren melanggar seekor babi di Kilometer 446.092 antara Batang Benar dan Labu, menyebabkan kira-kira 300 penumpang terpaksa diturunkan di Stesen Labu.
Pihak pengurusan KTMB memandang serius kejadian berkenaan dan menegaskan bahawa sebarang tindakan tidak profesional tidak akan dikompromi.
-Advertisement-
Menurut KTMB, pihak kontraktor telah mengambil tindakan menggantung pekerja terbabit berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan bagi menentukan tindakan tatatertib selanjutnya.
KTMB turut menzahirkan rasa kesal atas kesulitan yang dialami penumpang akibat gangguan perkhidmatan tersebut, selain menghargai kesabaran semua pihak yang terjejas.
KTMB berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan syarikat kontraktor bagi memastikan semua petugas yang bertugas di stesen dan kemudahan KTMB sentiasa mematuhi standard perkhidmatan yang telah ditetapkan – The Capital Post