JAKARTA 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kerajaan menegaskan komitmen untuk memudah cara kepulangan bakat Malaysia yang berada di luar negara menerusi pendekatan yang lebih tersusun, termasuk melalui Program Kepulangan Pakar (REP) kendalian Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata kerajaan perlu memastikan proses kepulangan bakat Malaysia tidak dibebani prosedur yang menyukarkan, sebaliknya menyediakan kemudahan yang jelas dan mesra pemohon.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Salam Dari Malaysia @ Jakarta yang menghimpunkan kira-kira 120 profesional, usahawan dan pelajar Malaysia yang menetap di Indonesia.
Menurutnya, pengalaman, kepakaran dan jaringan yang dibina rakyat Malaysia di luar negara terus mempunyai nilai kepada negara, sama ada mereka memilih untuk pulang atau menyumbang dari luar Malaysia.
Program berkenaan turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah kategori REP hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), TalentCorp dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Garis panduan yang dikemas kini itu menyediakan rujukan lebih jelas dan tersusun kepada bakat Malaysia yang layak untuk kembali ke tanah air bersama keluarga, selain memendekkan anggaran tempoh pemprosesan permit masuk daripada sekitar enam bulan kepada kira-kira empat bulan atau kurang.
-Advertisement-
Ramanan turut menekankan bahawa usaha membawa pulang bakat perlu mengambil kira bukan sahaja pertimbangan kerjaya individu, malah faktor keluarga termasuk pasangan, anak-anak dan komitmen kehidupan yang turut mempengaruhi keputusan untuk kembali ke Malaysia.
Selain itu, program berkenaan turut menampilkan sesi Unplugged bersama Menteri yang dikendalikan wakil TalentCorp, Asil Esaam Ghebllawi, selain perkongsian mengenai MyHeart serta usaha memperkukuh hubungan dengan rakyat Malaysia di seluruh dunia.
Kerajaan turut menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk terus menyumbang melalui kepakaran, pengalaman dan jaringan mereka walaupun belum bersedia untuk pulang, termasuk dengan membantu membuka peluang dan hubungan baharu untuk syarikat serta bakat Malaysia.
Inisiatif ini mencerminkan pendekatan Malaysia untuk terus menghubungkan diaspora dengan agenda pembangunan bakat negara, sekali gus memastikan kepakaran rakyat Malaysia di luar negara dapat dimanfaatkan demi kemajuan negara – The Capital Post