BKN 2026 Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH 12 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi risiko bencana menerusi peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 yang berlangsung di Ipoh Convention Centre (ICC), Perak.

Bertemakan “MADANI SIAGA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”, program pada 10 hingga 11 Oktober itu memberi penekanan terhadap kepentingan membina daya tahan masyarakat, khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

Majlis peluncuran disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bersama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Rahman, serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, selain wakil kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan.

Penganjuran oleh NADMA itu merangkumi pelbagai pengisian, antaranya Pameran MADANI Siaga, pameran aset dan jentera, pameran zon imersif, Program Jualan Rahmah serta demonstrasi taktikal operasi menyelamat di bangunan tinggi.

-Advertisement-

Aktiviti tersebut menyediakan ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan bencana, mengenali aset keselamatan serta memahami kepentingan tindakan pantas dan persediaan awal ketika berhadapan situasi kecemasan.

Kementerian Dalam Negeri turut menegaskan komitmennya dalam menyokong penyelarasan keselamatan dan kerjasama antara agensi bagi memastikan masyarakat lebih peka, bersedia serta berdaya tahan menghadapi kemungkinan bencana – The Capital Post