PUTRAJAYA 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melaksanakan Program Game Based Learning sempena Hari Psikologi MOSTI 2026 bagi menggalakkan kesejahteraan mental, mengurangkan tekanan kerja serta memperkukuh hubungan antara warga kementerian.
Program anjuran Unit Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia MOSTI itu berlangsung di Dewan Perhimpunan MOSTI pada 13 Oktober lalu, dengan penyertaan seramai 40 pegawai daripada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Aktiviti berkenaan dikendalikan oleh pengasas FnD Mindspot, Effendy bin Norzaman, menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan papan yang melibatkan peserta dalam kumpulan kecil. Antara permainan yang disediakan termasuk The Resistance, Treasures of Forbidden Island, Curious Case of Mr X Heroes, RISE, Melaka Game, Cytosis, Labyrinth, Orang Pulau serta Upin & Ipin Ke Sana Ke Sini.
Pendekatan interaktif tersebut bertujuan merangsang pemikiran, memberikan ruang kepada peserta untuk berehat daripada rutin kerja serta menggalakkan interaksi positif dalam kalangan rakan sekerja. Aktiviti permainan turut membuka peluang kepada peserta untuk mengasah kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan bekerja secara berpasukan.
-Advertisement-
Pelaksanaan program ini juga selari dengan usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental di tempat kerja, khususnya melalui aktiviti santai yang dapat membantu mengurus tekanan dan menyegarkan minda.
Dianjurkan bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026, program tersebut membawa mesej bahawa keseimbangan emosi, hubungan kerja yang positif dan semangat berpasukan merupakan antara elemen penting dalam membentuk persekitaran kerja yang lebih sihat dan produktif – The Capital Post