PUTRAJAYA 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengadakan sesi taklimat Belanjawan 2027 bagi memperincikan pengumuman serta inisiatif yang berkaitan dengan kementerian, susulan pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober lalu.
Sesi tersebut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, bersama Timbalan Menteri, Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta ketua jabatan dan agensi berkaitan.
Perbincangan memberi tumpuan kepada penelitian inisiatif yang diumumkan serta penetapan keutamaan pelaksanaan bagi memperkukuh pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
-Advertisement-
Melalui sesi berkenaan, MOSTI berusaha memastikan setiap peruntukan yang disediakan bagi tahun 2027 dapat dimanfaatkan secara berkesan untuk menyokong pelaksanaan program dan inisiatif di bawah tanggungjawab kementerian.
MOSTI turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa ekosistem STI sebagai antara pemacu kemajuan negara, di samping memastikan pelaksanaan inisiatif belanjawan menyokong pembangunan teknologi dan inovasi yang berterusan – The Capital Post