PUTRAJAYA 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG) sebagai langkah memperkemas proses permohonan serta pengurusan lesen perniagaan melalui platform digital yang lebih bersepadu dan mudah diakses.
Majlis pelancaran sistem berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, dengan disaksikan wakil kementerian dan agensi berkaitan di Putrajaya.
BNG membolehkan pengguna mengemukakan permohonan serta menyemak perkembangan status lesen, permit dan surat kebenaran perniagaan secara dalam talian. Kemudahan pemantauan secara masa nyata turut disediakan bagi membantu pemohon mengetahui kemajuan urusan mereka dengan lebih mudah.
Pelaksanaan sistem ini selaras dengan usaha KUSKOP untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi proses yang lebih teratur, cekap dan mesra pengguna, di samping mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.
-Advertisement-
Inisiatif berkenaan juga dijangka menyokong usaha mempertingkat kemudahan menjalankan perniagaan atau ease of doing business melalui penggunaan perkhidmatan digital yang memudahkan urusan antara pihak kerajaan dengan komuniti perniagaan.
Orang ramai dan pengusaha yang ingin mengetahui senarai lesen tersedia, panduan penggunaan serta kaedah peralihan daripada sistem terdahulu boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal rasmi BLESS Generasi Baharu di https://bless.gov.my/ – The Capital Post