Kementerian Ekonomi Perkukuh Data Pembangunan Desa

Estimate Reading Time: < 1 minute

CYBERJAYA 15 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi mempergiat usaha memperkukuh perancangan pembangunan desa melalui penyelarasan dan pengintegrasian maklumat antara kementerian, jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan dan negeri.

Usaha itu dilaksanakan menerusi Sesi Libat Urus Maklumat Desa Bersepadu bagi Perancangan Pembangunan Desa yang berlangsung pada 13 hingga 14 Oktober 2026 di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. Sesi berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed.

Penganjuran sesi libat urus tersebut selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta pendekatan keseluruhan Kerajaan (Whole-of-Government), yang menekankan kerjasama rentas agensi bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan terselaras.

Perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada keperluan data, aspek tadbir urus, mekanisme pengintegrasian maklumat serta penggunaan Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) sebagai pangkalan data spatial bersepadu untuk menyokong proses perancangan.

-Advertisement-

Melalui perkongsian maklumat dan perbincangan strategik, agensi terlibat berpeluang menyelaraskan keperluan data serta memperkukuh kaedah perkongsian maklumat bagi membantu mengenal pasti keperluan pembangunan desa dengan lebih tepat.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas penggunaan data bersepadu dalam perancangan pembangunan desa supaya pelaksanaan dasar dan program dapat dibuat secara lebih bersasar, berkesan serta mengambil kira kesejahteraan masyarakat dan keseimbangan pembangunan wilayah.

Pendekatan berasaskan data itu diharap dapat memperkukuh perancangan desa yang lebih tepat, inklusif dan berimpak, selaras dengan matlamat pembangunan negara yang mampan – The Capital Post