Kerajaan Perkukuh Ekosistem Semikonduktor

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 15 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi meneroka potensi kerjasama strategik bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi memperluas penglibatan syarikat tempatan dalam industri reka bentuk cip dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, mempengerusikan mesyuarat bersama TM pada 13 Oktober lalu bagi membincangkan peluang penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem reka bentuk cip negara, termasuk mengambil kira potensi kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan Arm Limited.

Inisiatif berkenaan dijangka membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan teknologi serta meneroka penggunaan teknologi reka bentuk cip dalam bidang berpotensi tinggi, termasuk infrastruktur digital dan pengkomputeran.

-Advertisement-

Usaha tersebut turut sejajar dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang menggariskan keperluan untuk Malaysia beralih daripada sekadar menghasilkan produk di dalam negara kepada membangunkan produk yang direka, dimiliki serta diterajui oleh syarikat tempatan.

Pendekatan itu penting bagi membolehkan syarikat Malaysia membangunkan teknologi sendiri, menghasilkan harta intelek dan menguasai aktiviti bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh daya saing negara dalam industri semikonduktor antarabangsa – The Capital Post