KUALA LUMPUR 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan Akta Perpaduan Negara yang baharu bagi menangani isu sensitif berkaitan Raja-Raja, agama dan kaum (3R), sebaliknya memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara lebih tegas dan berkesan.
Perkara itu dimaklumkan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie anak Mongin, berhubung langkah memperkukuh dasar serta perundangan perpaduan negara, khususnya dalam menangani penyebaran isu 3R di media sosial.
Kementerian Perpaduan Negara terus mempertingkat pemantauan isu berkaitan perpaduan menerusi beberapa mekanisme, termasuk e-Sepakat, RAKAN dan PRISMA bagi membantu mengenal pasti serta menangani perkara yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
Selain itu, peranan Mediator Komuniti dan Pusat Mediasi Komuniti turut diperluas bagi menggalakkan penyelesaian pertikaian secara aman melalui pendekatan dialog dan persefahaman antara pihak yang terlibat.
-Advertisement-
Usaha memperkukuh perpaduan turut berpandukan Dasar Perpaduan Negara serta agenda Pembinaan Negara Bangsa di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), yang memberi penekanan kepada pembentukan identiti nasional dan pemeliharaan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Pendekatan bersepadu melalui penguatkuasaan, pemantauan dan mediasi komuniti diharap dapat membantu membendung ketegangan berkaitan isu 3R serta memelihara kestabilan dan perpaduan negara – The Capital Post