Kursus Penilaian Perolehan KKR dan JKR Tamat

Estimate Reading Time: < 1 minute

GENTING HIGHLANDS 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kursus Perolehan Siri 3 Tahun 2026: Pemantapan Penilaian Perolehan Kerajaan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) secara rasmi berakhir hari ini dengan penekanan terhadap kepentingan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam kalangan pegawai penilai perolehan kerajaan.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Kewangan KKR, Muhammad Haizul Azreen bin Usol Ghafli, menerusi ucapan yang menandakan berakhirnya kursus berkenaan.

Program tersebut melibatkan 45 pegawai penilai daripada KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengikuti modul pembelajaran interaktif, perkongsian praktikal serta sesi Townhall bersama kepimpinan tertinggi kedua-dua agensi.

Penganjuran kursus ini diharapkan dapat meningkatkan keupayaan peserta dalam melaksanakan tanggungjawab penilaian dengan berpegang teguh pada amanah, integriti dan akauntabiliti. Pegawai penilai turut diingatkan supaya mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi bagi memastikan pengurusan perbelanjaan awam dilaksanakan secara bertanggungjawab.

-Advertisement-

KKR turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kewangan atas usaha menjayakan program tersebut dengan lancar serta memenuhi matlamat yang ditetapkan.

Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kompetensi warga kerja agar setiap proses perolehan kerajaan dilaksanakan secara objektif dan telus, selain memastikan perbelanjaan awam memberikan nilai terbaik kepada negara – The Capital Post