PUTRAJAYA 18 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran semula video lama yang memaparkan Menteri Dalam Negeri mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam, susulan kebimbangan terhadap penyebaran naratif yang boleh mengelirukan masyarakat.
JPN menjelaskan bahawa rakaman tersebut bukan kejadian baharu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023. Perkara itu juga telah diberikan penjelasan rasmi pada 25 Oktober 2023.
Menurut JPN, penyebaran semula rakaman lama tanpa konteks dan maklumat yang tepat boleh menimbulkan salah faham serta persepsi yang tidak selari dengan keadaan sebenar.
JPN turut menjelaskan bahawa jabatan itu bertanggungjawab menguruskan pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam upacara berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian majlis rasmi JPN pada 2023 dan perlu difahami berdasarkan konteks serta fungsi jabatan yang ditetapkan oleh undang-undang.
-Advertisement-
Dalam pada itu, JPN turut merujuk pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan aspek hukum syarak sebagai panduan kepada masyarakat agar isu tersebut dinilai berdasarkan fakta dan penjelasan pihak berautoriti, bukannya andaian atau tafsiran yang mengelirukan.
JPN menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks sehingga mencetuskan polemik yang tidak berasas. Pengguna media sosial juga diseru supaya menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum berkongsi kandungannya.
JPN menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, berpandukan undang-undang yang berkuat kuasa serta kepentingan rakyat, sambil menyeru masyarakat agar menghormati fakta dan merujuk kenyataan rasmi bagi mengelakkan salah faham – The Capital Post