PUTRAJAYA 18 Oktober 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang meneroka peluang kerjasama strategik dengan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi memperkukuh pembangunan modal insan, latihan profesional serta pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga agensi.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi UKMShape kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, di Admiral Lounge, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya. Delegasi berkenaan diketuai Pengarah UKMShape, Lt. Kdr. (B) TLDM Prof. Dr. Lokhman Hakim bin Osman.
Mohd Rosli berkata pembangunan modal insan secara berterusan penting bagi memastikan anggota Maritim Malaysia memiliki pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang seiring dengan keperluan operasi serta perkembangan teknologi keselamatan maritim.
Menurutnya, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UKM dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga agensi untuk meningkatkan keupayaan profesional, memperluas pengetahuan dan mendapatkan akses kepada program pendidikan serta latihan yang berkualiti.
-Advertisement-
Beliau turut menekankan bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan merupakan aspek penting untuk melahirkan warga yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Pertemuan tersebut turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pendidikan lanjutan, pembangunan kompetensi dan pemindahan ilmu antara institusi akademik dengan agensi penguatkuasaan maritim. Inisiatif berkenaan dijangka dapat menyokong peningkatan kemahiran serta profesionalisme warga agensi melalui program pendidikan dan latihan yang lebih tersusun.
Usaha itu mencerminkan komitmen Maritim Malaysia untuk memastikan pembangunan modal insan berkembang seiring dengan pemodenan aset, penggunaan teknologi dan perubahan keperluan operasi, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan serta tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara – The Capital Post