SANDAKAN 18 Oktober 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan merekodkan empat kes penguatkuasaan berasingan melibatkan tiga bot nelayan tempatan, sebuah bot pancung dan sebuah premis di sekitar perairan Sandakan pada 15 Oktober lalu.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, tindakan berkenaan membawa kepada penahanan 10 individu bagi membantu siasatan, selain rampasan bot, hasil laut, minyak diesel serta beberapa barangan yang disyaki berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang berkuat kuasa.
Dalam kes pertama, sebuah bot nelayan tempatan ditahan kira-kira jam 2.50 pagi. Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama dua awak-awak bukan warganegara, selain membawa hasil laut yang dianggarkan seberat 50 kilogram.
Kes kedua melibatkan sebuah lagi bot nelayan yang ditahan sekitar jam 3.14 pagi. Bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga Malaysia dan seorang awak-awak bukan warganegara. Pemeriksaan menemukan hasil laut kira-kira satu tan, lima tong gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram setiap satu serta peralatan dan dokumen berkaitan.
Sebuah bot nelayan tempatan ketiga pula ditahan kira-kira jam 3.30 pagi. Bot itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama tiga awak-awak, termasuk seorang bukan warganegara. Pemeriksaan menemukan hasil laut dianggarkan seberat satu tan, lima tong gas LPG berkapasiti 14 kilogram setiap satu serta beberapa peralatan dan dokumen berkaitan.
-Advertisement-
Dalam tindakan berasingan, pemeriksaan terhadap sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dan sebuah premis di Kampung Seng Kee, Sandakan membawa kepada penemuan 25 tong jerrycan yang mengandungi keseluruhan 750 liter minyak diesel. Sebuah bot pancung bersama enjin sangkut Yamaha berkuasa 250 kuasa kuda turut dirampas, dengan nilai rampasan bagi kes tersebut dianggarkan RM51,952.50.
Nilai rampasan bagi tiga bot nelayan tempatan pula dianggarkan RM456,400, menjadikan keseluruhan rampasan bagi keempat-empat kes berjumlah RM508,352.50.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 2002, tertakluk kepada hasil siasatan setiap kes.
Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk meneruskan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang serta memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 – The Capital Post