ROME 19 Oktober 2026 (The Capital Post) – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperluas sumbangan dalam bidang keterjaminan makanan antarabangsa menerusi penyertaan Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin dalam World Food Forum (WFF) 2026 di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Rome, Itali.
Prof. Dr. Anjas, yang juga Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) serta Pengerusi ASEAN University Network for Agriculture and Food Security (AUN-AFS), menyertai forum berkenaan bersama empat rakan akademik UPM sepanjang 8 hingga 16 Oktober lalu.
Penglibatan beliau memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan penyelidikan saintifik, penggubalan dasar dan inovasi belia bagi memperkukuh sistem agromakanan serta keterjaminan makanan di peringkat serantau.
Antara inisiatif utama yang diterajuinya ialah FAO & AUN-AFS Research Proposal Competition for Youth 2026, dengan kerjasama FAO dan FAO eLearning Academy. Program tersebut bertujuan memperkasa keupayaan penyelidikan serta menggalakkan pembangunan inovasi dalam kalangan belia di rantau ASEAN+3.
-Advertisement-
Selain mengadakan perbincangan strategik bersama pihak FAO, Prof. Dr. Anjas turut menjadi ahli panel dalam dua sesi wacana antarabangsa. Sesi pertama, “Where Research Meets Reality: Building Ecosystems for Impactful Innovation”, berlangsung pada 14 Oktober sempena Transformative Research Challenge Finals, manakala sesi kedua, “Driving Change Across Asia and the Pacific: Youth Transforming Agrifood Systems”, diadakan pada 15 Oktober sempena Asia Pacific Mainstage Panel.
Beliau turut mengadakan sesi libat urus dengan pegawai kanan FAO dan wakil institusi akademik antarabangsa bagi meneroka peluang kerjasama penyelidikan serta inovasi. Lawatan ke FAO Situation Room juga memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi digital, analisis data dan sistem pemantauan dalam menilai situasi keterjaminan makanan serta menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti.
Penyertaan ini mencerminkan sumbangan kepakaran akademik Malaysia dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, memperkasa penyelidik muda dan mendorong pembangunan sistem agromakanan ASEAN yang lebih mampan serta berdaya tahan – The Capital Post