KKM Perkukuh Agenda Kesihatan Awam Belanjawan 2027

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 20 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam selaras dengan aspirasi Belanjawan 2027 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan negara secara mampan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan barisan kepimpinan serta warga KKM dalam sesi perjumpaan bersama Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang diadakan secara dalam talian pada 19 Oktober lalu dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat KKM, Kompleks E, Putrajaya. Sesi tersebut berlangsung sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, dan Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, mengetuai penyertaan kementerian dalam sesi yang mengangkat tema “Belanjawan 2027: Untuk Manfaat Semua” dengan penekanan terhadap konsep Waad Nasional, iaitu amanah dan tanggungjawab antara kerajaan dengan rakyat.

Dalam amanatnya, Anwar mengetengahkan falsafah “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” yang mengimbangi usaha membangunkan ekonomi bernilai tinggi melalui teknologi masa depan dengan keperluan memastikan hasil kemajuan dapat dinikmati rakyat. Antara bidang yang diberi perhatian ialah kecerdasan buatan, semikonduktor, pengkomputeran kuantum dan tenaga hijau, di samping usaha membela golongan berpendapatan rendah, mengawal kos sara hidup serta menambah baik kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan disiplin fiskal dan reformasi tatakelola bagi memastikan pengurusan kewangan negara dilaksanakan secara bertanggungjawab. Beliau menyentuh langkah penyasaran subsidi serta penyaluran semula penjimatan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pelarasan gaji penjawat awam dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

-Advertisement-

Beliau turut mengingatkan bahawa keberkesanan perkhidmatan awam tidak hanya bergantung pada jumlah peruntukan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kecekapan, kepantasan dan hasil pelaksanaan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Amanat itu turut menyentuh nilai kerendahan hati, adab kepimpinan dan integriti sebagai asas dalam melaksanakan pembaharuan serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Penyertaan warga KKM dalam sesi berkenaan mencerminkan tekad kementerian untuk menyokong agenda Malaysia MADANI dengan memastikan perkhidmatan kesihatan awam terus berkualiti, inklusif dan berdaya tahan demi memenuhi keperluan masyarakat.

Turut menyertai sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Sri Zahrul Hakim bin Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), YBrs. Dr. Azuana binti Ramli; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), YBrs. Dr. Nurain Mohd Noor; serta barisan kepimpinan tertinggi dan pegawai kanan KKM – The Capital Post