KPWKM Perkukuh Usaha Membanteras Keganasan Terhadap Wanita

Estimate Reading Time: < 1 minute

PULAU PINANG 21 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh usaha menangani keganasan terhadap wanita melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan pemulihan bagi memastikan golongan yang terjejas mendapat akses kepada bantuan sewajarnya.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, di Pulau Pinang pada 20 Oktober 2026, bersempena dengan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2026.

Program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu merupakan sebahagian daripada gerakan pencegahan keganasan terhadap wanita yang dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan. Usaha berkenaan dimulakan melalui Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita berkaitan Keganasan Rumah Tangga, diikuti pelaksanaan inisiatif SARI@KRT dan diperkasakan menerusi program Road to EVAW di peringkat negeri.

Pendekatan bersepadu ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keganasan terhadap wanita, di samping memperluas penglibatan pelbagai pihak dalam membina persekitaran yang lebih selamat dan menyokong mangsa untuk mendapatkan bantuan.

-Advertisement-

Menjelang kemuncak sambutan EVAW pada 25 November 2026, YB Dato’ Sri Hajah Nancy turut menyeru kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara agar menerangi bangunan masing-masing dengan cahaya berwarna oren. Warna tersebut melambangkan harapan serta aspirasi untuk mewujudkan masa depan yang bebas daripada keganasan terhadap wanita.

Inisiatif pencahayaan oren itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan sokongan masyarakat terhadap usaha membanteras segala bentuk keganasan yang menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan wanita.

KPWKM menegaskan komitmennya untuk meneruskan usaha pencegahan, memperkukuh sistem perlindungan serta memperluas akses kepada perkhidmatan pemulihan. Langkah ini penting bagi memastikan setiap wanita yang berhadapan dengan keganasan menerima sokongan, perlindungan dan bantuan yang diperlukan tanpa tercicir daripada sistem sokongan sedia ada. – The Capital Post