KPT Perkasa Komunikasi Strategik Melalui KARISMA PRO 2026

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 21 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh keupayaan pegawai perhubungan awam sebagai penggerak komunikasi strategik menerusi Program KARISMA Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan, Agensi dan Universiti Awam Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 Oktober di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur.

Program yang menghimpunkan pegawai komunikasi daripada pelbagai jabatan, agensi dan universiti awam itu bertujuan melahirkan penggerak komunikasi utama yang berupaya menyampaikan dasar kerajaan dengan berkesan, mengetengahkan mesej kepimpinan serta meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap hala tuju dan agenda pendidikan tinggi negara.

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai sesi yang memberi tumpuan kepada pengurusan organisasi, pemahaman terhadap keperluan kepimpinan, strategi komunikasi untuk membina pengaruh serta pengendalian krisis. Perbincangan turut merangkumi pengaruh kempen propaganda dan pembentukan persepsi dalam menghadapi perubahan landskap media serta perkembangan penyebaran maklumat digital.

Dalam sesi ramah mesra bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, beliau menekankan keperluan pegawai komunikasi untuk menggunakan pendekatan penyampaian maklumat yang lebih strategik dan responsif, khususnya ketika berhadapan dengan krisis. Menurut beliau, kenyataan akhbar semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menangani sesuatu krisis, sebaliknya tindakan pantas diperlukan bagi membendung penyebaran maklumat tidak benar.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebenaran perlu disampaikan secara tersusun dan meyakinkan agar tidak ditenggelami maklumat palsu yang disebarkan secara terancang. Penekanan ini memperlihatkan kepentingan komunikasi yang tepat, profesional dan berkesan dalam mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi.

-Advertisement-

Selain pengisian berbentuk perkongsian ilmu dan interaksi bersama kepimpinan kementerian, program KARISMA 2026 turut menyediakan peluang untuk memperluas jaringan profesional antara pegawai komunikasi. Aktiviti bersama, termasuk jamuan makan malam dan perlawanan boling persahabatan, dianjurkan bagi mengukuhkan hubungan kerja serta kerjasama merentas jabatan, agensi dan universiti awam.

Program tersebut turut merangkumi lawatan ke Balai Berita Media Prima yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan Tinggi, YBrs. En. Norazli Md Daud. Lawatan berkenaan memberi peluang kepada peserta memahami operasi organisasi media serta memperkukuh pengetahuan mengenai hubungan profesional antara institusi pendidikan tinggi dengan pengamal media.

Secara keseluruhan, gabungan latihan komunikasi strategik, pendedahan kepada pengurusan krisis, interaksi kepimpinan dan pengalaman industri media menjadikan KARISMA PRO 2026 sebagai platform pembangunan profesional yang penting dalam mempertingkat kesiapsiagaan pegawai perhubungan awam menghadapi cabaran komunikasi semasa, mengurus isu dengan berkesan dan memelihara kredibiliti institusi pendidikan tinggi negara. – The Capital Post