KUALA LUMPUR 21 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus menyokong pembangunan inovasi tempatan menerusi perbincangan bersama Team Kencana FELDA Sahabat, Lahad Datu, bagi meneroka potensi pengembangan dan pengkomersialan Mesin Pelupusan Naskhah Keagamaan hasil ciptaan anak tempatan.
Perkara itu dibincangkan dalam satu kunjungan hormat oleh Team Kencana FELDA Sahabat bersama wakil pengurusan FELDA dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, di Parlimen pada 20 Oktober 2026.
Mesin yang ditempatkan di Masjid Al-Ubudiyyah, Desa Kencana, FELDA Sahabat, Lahad Datu itu merupakan satu inisiatif inovasi yang bertujuan menyediakan kaedah pelupusan naskhah al-Quran dan teks keagamaan secara lebih sistematik, dengan mengambil kira keperluan pematuhan syarak.
Selain membincangkan potensi penggunaan mesin tersebut secara lebih meluas, pertemuan itu turut mengetengahkan idea untuk memanfaatkan abu hasil proses pelupusan sebagai bahan bagi penghasilan tukun tiruan. Pendekatan ini berpotensi menghubungkan inovasi berasaskan keperluan masyarakat dengan usaha pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem marin.
-Advertisement-
Cadangan berkenaan turut membuka ruang kepada penerokaan kaedah baharu yang dapat memberikan nilai tambah kepada hasil inovasi tempatan, tertakluk kepada kesesuaian teknikal, keselamatan alam sekitar dan pematuhan terhadap keperluan berkaitan.
MOSTI menegaskan komitmennya untuk terus menggalakkan pembangunan teknologi serta inovasi tempatan yang mampu membawa manfaat kepada masyarakat. Sokongan melalui kerjasama strategik antara agensi, organisasi dan pihak berkepentingan dilihat penting bagi membantu inovasi berpotensi berkembang daripada peringkat idea kepada penggunaan yang lebih meluas.
Usaha ini juga berupaya membuka peluang pengkomersialan hasil ciptaan anak tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi negara dan membuktikan bahawa idea yang lahir daripada komuniti setempat berpotensi menyumbang kepada penyelesaian keperluan masyarakat serta pemeliharaan alam sekitar. – The Capital Post