KOTA KINABALU 21 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperluas hebahan mengenai peluang keusahawanan menerusi promosi Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang bakal berlangsung di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, dari 23 hingga 25 Oktober ini.
Promosi tersebut diketengahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad bin Alamin, menerusi temu bual eksklusif dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM TV1 pada pagi 21 Oktober 2026.
Dalam temu bual berkenaan, beliau berkongsi mengenai penganjuran karnival yang bakal menghimpunkan pelbagai peluang perniagaan, aktiviti menarik serta inisiatif keusahawanan bagi memberikan manfaat kepada masyarakat, khususnya komuniti usahawan di Sabah.
Selain sesi temu bual, YB Datuk Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), YBhg. Datuk Ashwad bin Ismail, bagi meneroka potensi kerjasama strategik antara KUSKOP dengan RTM. Kerjasama tersebut bertujuan memperluas penyampaian maklumat kepada masyarakat serta meningkatkan promosi agenda pembangunan keusahawanan negara melalui saluran komunikasi yang lebih meluas.
-Advertisement-
Karnival HPM Edisi Sabah 2026 dijadualkan berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Oktober 2026, dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. Orang ramai berpeluang mengunjungi karnival ini secara percuma dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
KUSKOP turut menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya penduduk Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, bagi memeriahkan program tersebut serta memanfaatkan peluang yang ditawarkan. Penganjuran karnival ini menjadi antara usaha kementerian untuk mendekatkan inisiatif keusahawanan kepada rakyat dan menyokong perkembangan komuniti perniagaan tempatan.
Melalui penganjuran HPM Edisi Sabah 2026 serta kerjasama strategik bersama media, KUSKOP berharap kesedaran terhadap peluang keusahawanan dapat dipertingkatkan, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat meneroka potensi perniagaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. – The Capital Post