Dialog Harmoni 2026 Perkukuh Perpaduan di Johor

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEGAMAT, 25 Oktober 2026 – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, merasmikan Program Dialog Harmoni dan Jejak Harmoni Peringkat Negeri Johor 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor.

Program yang berlangsung di Balai Raya FELDA Medoi, Segamat itu menjadi wadah strategik untuk memperkukuh perpaduan serta merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti setempat menerusi penglibatan bersama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Program ini menghimpunkan mahasiswa, keluarga angkat, warga pendidik, murid-murid dan penduduk setempat dalam aktiviti yang merangkumi gotong-royong, bimbingan akademik, sukan rakyat, eksplorasi budaya serta dialog harmoni.

Pelaksanaan aktiviti tersebut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan memahami kepelbagaian latar belakang masyarakat. Penglibatan mahasiswa bersama komuniti juga memberi peluang untuk memupuk semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan kerjasama antara generasi.

-Advertisement-

Perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan kebersamaan, sikap saling menghormati dan semangat bekerjasama dalam kehidupan seharian. Justeru, program berasaskan komuniti seperti ini berperanan menyediakan ruang interaksi yang dapat mengeratkan hubungan serta memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JPNIN dan UiTM Cawangan Johor dalam menyemai nilai keharmonian, memperkukuh integrasi nasional serta membina masyarakat yang inklusif, bersatu padu dan sejahtera.

Melalui penganjuran Program Dialog Harmoni dan Jejak Harmoni 2026, kerjasama antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat diharap dapat terus diperkukuh bagi melahirkan masyarakat yang saling memahami, menghargai kepelbagaian dan bersama-sama memelihara keharmonian negara. – The Capital Post