GEORGE TOWN, 5 November 2026 (The Capital Post) – Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan ditawarkan secara percuma kepada warganegara Malaysia pada 8 November ini bersempena sambutan Deepavali.
Inisiatif itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB), melibatkan perjalanan dari kedua-dua terminal feri, iaitu Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town.
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, perkhidmatan percuma itu akan beroperasi mengikut jadual feri terkini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan, selain merujuk jadual terkini menerusi laman sesawang dan media sosial rasmi SPPP serta PPSB.
-Advertisement-
Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memudahkan pergerakan rakyat, khususnya ketika musim perayaan, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
Berdasarkan statistik sambutan Deepavali tahun lalu, seramai 7,780 penumpang pejalan kaki dan 1,518 pengguna kenderaan dua roda menggunakan perkhidmatan feri bagi perjalanan dua hala.
Yeoh turut memaklumkan bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang mencatatkan peningkatan jumlah pengguna sebanyak 5.61 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026 berbanding tempoh sama pada 2025. – The Capital Post