Ahmad Zahid Mulakan Lawatan Kerja Ke Turkiye

Estimate Reading Time: 2 minutes

ISTANBUL, 5 November 2026 (The Capital Post) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istanbul hari ini bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari ke Turkiye hingga 8 November bersempena penyertaannya dalam TRT World Forum 2026.

Pesawat khas yang membawa beliau bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 3.30 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) dan disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Adlan Mohd Shaffieq.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid dijadual menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye, Prof Dr Erol Ozvar, sebelum menghadiri majlis perasmian TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Centre (ICC) yang akan disempurnakan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut dijadual menyertai forum berkenaan sebagai ahli panel bagi sesi bertajuk Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor.

Forum yang mengangkat tema A World Without a Center: Who Leads When The Rules Run Out? itu merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin politik, penggubal dasar, ahli akademik, pengamal media serta wakil masyarakat sivil bagi membincangkan pelbagai isu global.

Sepanjang lawatan tersebut, pada 7 November, Ahmad Zahid dijadual menyampaikan syarahan di Universiti Ibn Haldun serta menyertai sesi libat urus bersama badan pemikir Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA) bagi membincangkan isu geopolitik dan geoekonomi semasa.

-Advertisement-

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Lubnan, Tarek Mitri, selain menyaksikan pemeteraian Surat Kolaborasi (LOC) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Universiti Sabanci dan Universiti Teknikal Yildiz.

Majlis pertukaran dokumen itu turut dijadual dihadiri 17 pelajar tajaan MARA yang sedang melanjutkan pengajian di Turkiye.

Malaysia dan Turkiye menjalinkan hubungan diplomatik rasmi sejak 17 Jun 1964 dan terus memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, termasuk politik, ekonomi, perdagangan serta pendidikan.

Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Turkiye kini mencecah US$5.6 bilion. Pada Januari 2026, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan nilai perdagangan kepada US$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Peningkatan sasaran perdagangan itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan ekonomi, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara rakan dagang utama Turkiye di rantau Asia Tenggara selain Singapura. – The Capital Post