APMM Tahan Dua Vesel Nelayan Di Manjung

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH, 5 November 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan Tanjung Akuan, berhampiran Manjung, semalam selepas dikesan melakukan beberapa kesalahan, termasuk mengupah tekong dan kru warga Myanmar tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Pengarah APMM, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, kedua-dua vesel Kelas B dan C itu turut disyaki melanggar syarat sah lesen, termasuk beroperasi pada jarak yang kurang daripada had minimum dibenarkan.

Beliau berkata, kedua-dua vesel berkenaan ditahan oleh aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin kira-kira 4.8 dan 5.5 batu nautika di barat daya Tanjung Akuan, masing-masing pada 6.40 pagi dan 6.50 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel yang berpangkalan di Pantai Remis dan Bagan Panchor itu dikendalikan oleh dua tekong serta tiga kru warga Myanmar berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Menurut Zainudin, antara kesalahan yang dikesan termasuk kegagalan mengusahakan sendiri lesen vesel menangkap ikan serta menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

-Advertisement-

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung pelanggaran syarat lesen, termasuk had jarak operasi dan pemilikan vesel, selain Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan imigresen.

Kesemua nelayan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, manakala kedua-dua vesel, kira-kira 220 kilogram hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan turut dirampas.

Kesemua barang rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan selanjutnya. – The Capital Post