UPSI Perkukuh Peranan GEA Sebagai Platform Pendidikan Global

Estimate Reading Time: 3 minutes

TANJONG MALIM, 5 November 2026 (The Capital Post) – Global Educator Award (GEA) perlu diperkembangkan sebagai platform antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan pendidikan, mempromosikan inovasi serta memperkukuh kerjasama pendidikan merentas sempadan, bukan sekadar menjadi acara penyampaian anugerah.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang The HONOR EdTech Innovation Excellence Award pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan, selain menjadi tunjang kepada pembangunan generasi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Beliau berkata sumbangan guru dan pensyarah tidak semestinya mendapat pengiktirafan masyarakat, namun peranan mereka dalam membentuk generasi menjadi asas kepada kejayaan pemimpin, saintis dan golongan profesional.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Guru dan pensyarah mungkin tidak sentiasa menerima pengiktirafan masyarakat, namun sumbangan mereka membentuk generasi. Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada 4 November.

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.

Zambry berkata kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan institusi dalam penarafan antarabangsa semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui impak sebenar pendidik terhadap kehidupan masyarakat.

Menurut beliau, pendidik cemerlang boleh dilahirkan di mana-mana sahaja, termasuk universiti terkemuka, sekolah luar bandar dan institusi komuniti kecil, dengan sumbangan mereka dalam mengubah kehidupan seseorang menjadi ukuran utama.

Beliau turut berharap GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya dapat berkembang sebagai platform global yang dihormati dengan memastikan setiap pengiktirafan diberikan berdasarkan integriti, kredibiliti dan impak sebenar.

-Advertisement-

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran GEA 2026 mencerminkan aspirasi universiti untuk memperluas pengaruh dan kepimpinan dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata edisi kali ini menerima 472 pencalonan dari 83 negara sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian yang teliti.

“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah.

Penerima Avant-Garde Teacher Award ialah Prof. Madya Dr. Jayanthi Arasan dari Malaysia, manakala Eminent Education Researcher Award disandang Dr. Mahdi Kolahi dari Iran.

Community Outreach Award diterima Peter Mokaya Tabichi dari Kenya, sementara Esteemed Teacher Educator Award diberikan kepada Prof. Madya Dr. Evania Yafie dari Indonesia.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula menerima Transforming Educational Institution Award, manakala The HONOR EdTech Innovation Excellence Award diberikan kepada Siti Ainulmursyida Shamsudin dari Malaysia.

Bagi kategori lain, Inspiring Educational Leader Award dimenangi Kashmira Jaiswal dari India, sementara The Legacy Educator Award diterima Chan Hung dari Hong Kong.

Penerima bagi kategori Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan bernilai RM20,317.

Sementara itu, penerima The Legacy Educator Award membawa pulang trofi serta geran penyelidikan bernilai RM40,634. – The Capital Post