KUALA LUMPUR, 12 November 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 164 projek pembinaan menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang menerusi QUEST Day 2026, berbanding 132 projek pada tahun sebelumnya.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), sebanyak 619 permohonan penilaian diterima tahun ini, dengan 164 projek mencapai tahap pencapaian cemerlang dan tertinggi berdasarkan empat instrumen penilaian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Empat instrumen tersebut ialah Quality Assessment System in Construction (QLASSIC), Safety and Health Assessment System in Construction (SHASSIC), Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool (MyCREST) serta Sustainable INFRASTAR.
Majlis QUEST Day 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Turut hadir menyampaikan anugerah ialah Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman Ibrahim.
Dalam ucapannya, Ahmad menegaskan bahawa kecemerlangan industri pembinaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kejayaan menyiapkan projek semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi kualiti hasil kerja, keselamatan pekerja dan kesan terhadap alam sekitar.
-Advertisement-
Beliau turut mengingatkan pihak berkepentingan supaya mengutamakan aspek kualiti, keselamatan dan kelestarian pada setiap peringkat pelaksanaan projek pembinaan.
Pada majlis sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pengurusan Air Berhad menerima pengiktirafan khas atas kerjasama dalam pelaksanaan inisiatif penilaian bersama CIDB.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia, kementerian itu melalui CIDB akan terus memperkukuh standard dan profesionalisme industri pembinaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara memenuhi keperluan kualiti, keselamatan dan kemampanan.
Usaha berkenaan turut bertujuan meningkatkan daya saing industri pembinaan negara serta memastikan pembangunan infrastruktur memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.– The Capital Post