Anwar Jamin Lindungi Rakyat Jika Konflik Asia Barat Memuncak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 12 November 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melindungi kebajikan rakyat, memastikan bekalan keperluan asas mencukupi serta menyokong kelangsungan perniagaan dan pekerjaan sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2027 merangkumi pelbagai langkah bagi meringankan beban kewangan isi rumah dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pelepasan cukai individu akan dinaikkan kepada RM12,000, manakala kadar cukai pendapatan individu bagi pendapatan antara RM70,000 hingga RM150,000 dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.

Pengurangan kadar cukai itu dianggarkan memberikan lebihan pendapatan sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

Beliau berkata, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut ditingkatkan daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah pelaksanaan bantuan berkenaan.

Kadar bantuan SARA dinaikkan sehingga RM150 sebulan, manakala penerima yang berdaftar di bawah eKasih layak menerima sehingga RM250 sebulan.

Selain itu, sehingga 13 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, termasuk golongan M40, akan menerima bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada 2027.

Dalam aspek subsidi bahan api, Anwar berkata rakyat akan terus menikmati petrol RON95 bersubsidi menerusi BUDI MADANI sehingga 300 liter pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga sebenar RM3.87 seliter.

Diesel bersubsidi pula disediakan sehingga 400 liter pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga sebenar RM4.87 seliter.

Bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, yang dijangka memanfaatkan 5.3 juta murid di seluruh negara.

-Advertisement-

Sementara itu, gaji minimum akan meningkat daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Gaji Kehidupan Wajar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400, melibatkan kira-kira 230,000 pekerja.

Bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Anwar berkata kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan akan ditingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion.

Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana oleh Bank Negara Malaysia turut menerima tambahan RM5 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM10 bilion.

Beliau berkata, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) juga menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion.

Liputan SJPP akan diperluas kepada syarikat pertengahan dalam semua sektor, manakala RM2 bilion di bawah CGC dikhususkan untuk sektor semikonduktor.

Selain itu, kadar cukai PMKS bagi pendapatan bercukai sehingga RM600,000 akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan, manakala kelonggaran pelaksanaan e-Invois Fasa 4 dilanjutkan sehingga akhir 2027.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mengenai usaha kerajaan mengurangkan hutang negara ke paras lebih mampan serta kemampuan fiskal kerajaan untuk melaksanakan langkah perlindungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya konflik Asia Barat semakin meruncing.– The Capital Post