Malaysia, Indonesia Sepakat Tubuh Majlis Halal Bersama

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA, 12 November 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat mengenai kertas konsep cadangan penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia (MINDHaC), sekali gus membuka laluan ke arah kerjasama lebih erat dalam bidang pensijilan halal dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Setiausaha Pertama (Hal Ehwal Agama) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Mohd Izwan Sharif mengesahkan bahawa persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat penyelarasan peringkat tinggi antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia minggu ini.

Menurut beliau, kertas konsep yang dipersetujui kedua-dua negara akan dibentangkan oleh JAKIM kepada Jemaah Menteri Malaysia sebagai langkah seterusnya dalam proses berkenaan.

Mesyuarat yang berlangsung di Jakarta pada Selasa itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua BPJPH, Ahmad Haikal Hasan.

Pertemuan tersebut merupakan susulan kepada mesyuarat penyelarasan secara dalam talian yang diadakan pada 27 Oktober lalu.

MINDHaC dicadangkan sebagai mekanisme kerjasama dua hala untuk memperkukuh pensijilan halal, memudah cara perdagangan serta menangani halangan kawal selia yang menjejaskan produk halal di Malaysia dan Indonesia.

Majlis itu dijangka menyediakan platform berstruktur kepada kementerian dan agensi kawal selia berkaitan bagi menyelaraskan dasar halal, menyelesaikan isu pensijilan rentas sempadan serta meningkatkan akses pasaran bagi produk halal.

Selain itu, inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan pertindihan peraturan dan memperkukuh integrasi rantaian bekalan halal serantau, termasuk membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menyertai industri halal.

-Advertisement-

Dalam ucapan pembukaannya pada mesyuarat tersebut, Sirajuddin berkata kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran Malaysia dalam piawaian dan tadbir urus halal dengan kelebihan Indonesia yang mempunyai pasaran domestik lebih besar serta kapasiti pengeluaran yang luas.

Menurut beliau, gabungan kekuatan kedua-dua negara berpotensi meningkatkan daya saing industri halal Malaysia dan Indonesia di peringkat antarabangsa.

Sirajuddin turut menyifatkan MINDHaC sebagai jambatan strategik ke arah matlamat lebih besar untuk menubuhkan Majlis Halal ASEAN.

Cadangan penubuhan majlis berkenaan berasaskan memorandum kerjasama yang dimeterai Malaysia dan Indonesia pada 8 Jun 2023 berkaitan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.

Penubuhan MINDHaC sebelum ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sidang Kemuncak Halal Global, 25 September 2026.

Persetujuan terhadap kertas konsep itu merupakan satu lagi perkembangan ke arah merealisasikan penubuhan majlis berkenaan, tertakluk kepada proses kelulusan pihak berkaitan.– The Capital Post