JCorp Perkukuh Strategi Pengambilalihan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 13 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Johor Corporation (JCorp) menjadikan mandat ‘Membina dan Membela’ sebagai asas utama dalam merancang strategi pertumbuhan perniagaan, dengan setiap peluang pelaburan dan pengambilalihan dinilai berdasarkan keupayaannya memperkukuh organisasi serta memberikan nilai mampan kepada pihak berkepentingan.

Ketua Pegawai Pelaburan JCorp, Shamsul Anuar Majid berkata, pertumbuhan bukan sekadar aspirasi korporat, sebaliknya menjadi keperluan bagi membolehkan organisasi meneruskan agenda lebih luas dalam mewujudkan nilai kepada pihak berkepentingan.

Menurut beliau, JCorp mempunyai dua pendekatan utama untuk mengembangkan perniagaan, iaitu memperluas portfolio secara organik atau mengambil alih syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan.

Sehubungan itu, JCorp akan terus meneliti peluang pengambilalihan menerusi pendekatan pelaburan berdisiplin yang mengambil kira potensi pulangan, risiko serta tanggungjawabnya sebagai institusi pelaburan milik kerajaan negeri.

Shamsul Anuar berkata, antara langkah mengurangkan risiko adalah dengan memberi keutamaan kepada perniagaan yang mempunyai kaitan atau saling melengkapi operasi sedia ada JCorp.

Katanya, pengetahuan dalam bidang perniagaan berkenaan membolehkan organisasi memahami risiko syarikat sasaran dengan lebih baik, selain menyediakan unjuran aliran tunai yang lebih munasabah bagi menyokong cadangan pengambilalihan kepada Lembaga Pengarah.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan meneroka peluang dalam sektor baharu yang menawarkan potensi pulangan tinggi, termasuk teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), penemuan saintifik dan paten.

Beliau berkata, setiap peluang sedemikian perlu dinilai secara sistematik dan tidak boleh hanya bergantung kepada gerak hati, khususnya memandangkan kedudukan JCorp sebagai institusi pelaburan milik kerajaan negeri.

Menurutnya, penilaian awal perlu menentukan sama ada syarikat sasaran selari dengan strategi perniagaan keseluruhan JCorp sebelum analisis lebih terperinci dilaksanakan.

-Advertisement-

Antara perkara yang diteliti termasuk kelebihan utama syarikat berkenaan, prospek produk baharu, bahagian pasaran, rekod pertumbuhan, potensi pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi berpaten, rahsia dagangan, kepakaran tenaga kerja serta rangkaian dan kontrak perniagaan.

Shamsul Anuar berkata, JCorp perlu mempunyai alasan yang jelas tentang bagaimana pemilikan syarikat sasaran mampu memperkukuh perniagaan kumpulan dan menyokong pembangunan perniagaan pada masa hadapan.

Katanya, penetapan nilai kewangan atau harga pengambilalihan hanya dilakukan selepas rasional pelaburan difahami sepenuhnya, dengan beberapa kaedah penilaian boleh digunakan termasuk aliran tunai terdiskaun, nilai perusahaan berbanding EBITDA, gandaan nisbah harga kepada pendapatan serta aset ketara bersih.

Beliau berkata, selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai nilai transaksi, proses usaha wajar dari aspek perundangan dan kewangan akan dijalankan bagi meneliti dokumen tadbir urus, aset serta akaun kewangan syarikat sasaran.

Menurutnya, JCorp tidak mengambil mudah sebarang keputusan pengambilalihan kerana mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri terus dilindungi sepanjang proses tersebut.

Shamsul Anuar berkata, pengambilalihan sememangnya penting untuk memperluas perniagaan, namun pelaksanaannya perlu berlandaskan pertimbangan teliti dan proses yang tersusun.

Beliau menjelaskan, usaha berterusan mencari peluang pengambilalihan mencerminkan prinsip ‘Membina’, manakala pendekatan sistematik dalam menilai dan melaksanakan setiap transaksi pula menggambarkan prinsip ‘Membela’ bagi melindungi kepentingan pihak berkepentingan. – The Capital Post