PRN Melaka: Kerk Chee Yee Calon Termuda Menang

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 15 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Calon Pakatan Harapan (PH), Kerk Chee Yee, 34, muncul sebagai pemenang termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, manakala penyandang Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, 65, merupakan pemenang paling berusia.

Kerk yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh memperoleh 14,078 undi dalam pertandingan empat penjuru, sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Gan Peng Lam yang meraih 8,474 undi.

Dua lagi calon, Muhammad Muhaimin Lau Abdullah daripada Bersama memperoleh 1,932 undi, manakala Mohd Hamnaim Mohamad daripada Bersatu mendapat 1,077 undi.

Kemenangan tersebut membolehkan Kerk mengekalkan kerusi berkenaan bagi penggal ketiga dengan majoriti 5,604 undi. DUN Ayer Keroh mempunyai seramai 38,252 pengundi berdaftar dan merupakan satu daripada empat kerusi di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya.

Sementara itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara selepas memperoleh 10,079 undi, mengatasi calon PH, Mohd Yunazri Mustamiri yang mendapat 1,464 undi.

Kemenangan itu memberikan Ab Rauf majoriti 8,615 undi, meningkat berbanding majoriti 364 undi yang dicatatkan pada PRN 2021.

Dalam perkembangan lain, hanya empat daripada 14 calon wanita yang bertanding pada PRN kali ini berjaya memperoleh mandat pengundi, melibatkan tiga wakil BN dan seorang daripada PH.

Tiga calon wanita BN yang menang ialah Tuminah Kadi @ Mohd Hashim di DUN Pantai Kundor, Siti Aisyah Mahmood di DUN Pengkalan Batu dan Khaidhirah Abu Zahar di DUN Rim.

-Advertisement-

Tuminah memperoleh 8,864 undi untuk menewaskan calon Bersatu, Asmah Samat yang meraih 6,112 undi, sekali gus menang dengan majoriti 2,752 undi.

Siti Aisyah pula memenangi kerusi Pengkalan Batu menerusi pertandingan empat penjuru dengan majoriti 6,358 undi. Beliau merupakan satu-satunya calon wanita yang bertanding di kawasan berkenaan.

Khaidhirah yang juga penyandang kerusi DUN Rim memperoleh 9,847 undi, mengatasi calon PH, Esma Eazreen Husin yang mendapat 2,757 undi. Beliau menang dengan majoriti 7,090 undi.

Seorang lagi calon wanita PH, Leng Chau Yen berjaya mempertahankan kerusi DUN Bandar Hilir selepas memperoleh 9,942 undi, menewaskan Lok Huey Yee daripada BN yang meraih 2,085 undi dan Mohd Nor Rashidi Ab. Jalil dengan 1,315 undi. Kemenangan itu memberikan Leng majoriti 7,857 undi.

Secara keseluruhan, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga, manakala PH mengekalkan empat kerusi dan PN memenangi tiga kerusi.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian. – The Capital Post