Itali Kenakan Denda €805 Juta Terhadap Meta

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON 15 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pihak berkuasa perlindungan data Itali mengenakan denda sebanyak €805 juta (kira-kira US$900 juta) terhadap Meta berhubung akses kepada foto, video dan metadata dalam peranti Android pengguna di negara itu tanpa persetujuan khusus dan termaklum.

Pihak Berkuasa Perlindungan Data Itali mengesahkan pelanggaran itu melibatkan ciri Facebook dikenali sebagai “Get suggestions from gallery when browsing Facebook” yang diperkenalkan pada 2023. Ciri berkenaan membolehkan platform mencadangkan foto dan video yang tersimpan dalam telefon pintar pengguna untuk dikongsi di Facebook.

Hasil siasatan mendapati Facebook menggunakan satu permintaan kebenaran yang merangkumi beberapa fungsi, disertai amaran umum yang tidak menjelaskan secara khusus bahawa aplikasi itu turut boleh mengakses galeri foto pengguna.

Pihak berkuasa turut mendapati ciri tersebut diaktifkan secara lalai, sekali gus berpotensi membolehkan aplikasi mengakses keseluruhan koleksi foto pengguna selepas kebenaran diberikan.

Siasatan yang bermula pada Julai 2025 itu susulan aduan Pusat Perlindungan Pengguna Bolzano dan turut melibatkan analisis teknikal terhadap aplikasi berkenaan.

Menurut pihak pengawal selia, amalan tersebut melanggar Artikel 122 Kod Privasi Itali yang melaksanakan Arahan ePrivacy Kesatuan Eropah (EU) bagi melindungi maklumat yang tersimpan dalam peranti pengguna.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa akses kepada maklumat dalam telefon pintar memerlukan persetujuan yang diberikan secara bebas berdasarkan penerangan yang jelas, tanpa mengira sama ada data peribadi berkenaan kemudiannya dihantar atau kemudaratan dapat dibuktikan.

-Advertisement-

Pihak berkuasa itu turut menolak bantahan Meta berhubung bidang kuasa dengan menjelaskan bahawa undang-undang ePrivacy tidak menyediakan mekanisme “satu pintu” di peringkat EU.

Menerusi keputusan tersebut, Meta diarahkan memperkenalkan permintaan persetujuan secara berasingan, menjelaskan tujuan penggunaan ciri berkenaan dengan lebih terperinci serta memastikan fungsi itu kekal dinyahaktifkan secara lalai dalam tempoh 60 hari, termasuk bagi pengguna yang pernah memberikan kebenaran sebelum ini.

Meta juga perlu melaporkan langkah awal yang diambil dalam tempoh 30 hari dan mengemukakan butiran pelaksanaan langkah pembetulan dalam tempoh 90 hari.

Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 20 juta pengguna Android di Itali berkemungkinan terjejas, berdasarkan skala dan tempoh pelanggaran, tindakan terdahulu terhadap Meta pada 2019 serta kegagalan syarikat itu memberikan kerjasama.

Bagaimanapun, prosiding tersebut tidak meneliti penggunaan kandungan galeri pengguna bagi tujuan latihan kecerdasan buatan (AI).

Pihak berkuasa itu tidak menolak kemungkinan menjalankan siasatan berasingan terhadap ciri pemprosesan galeri berasaskan awan yang dilancarkan pada 2026. – The Capital Post