AS Hilang Status Bebas Campak

Estimate Reading Time: < 1 minute

NEW YORK, 18 November 2026 (The Capital Post) – Amerika Syarikat (AS) kehilangan status sebagai negara bebas campak selepas lebih 25 tahun susulan penilaian sebuah suruhanjaya pakar yang mendapati negara itu tidak lagi memenuhi syarat pengiktirafan berkenaan.

Ketua Pejabat Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Benua Amerika, Jarbas Barbosa, mengumumkan keputusan itu pada Selasa selepas suruhanjaya berkenaan mengesahkan bahawa varian virus campak yang sama terus menular dalam negara tersebut selama sekurang-kurangnya 12 bulan berturut-turut.

AS memperoleh status bebas campak pada 2000. Namun, pengiktirafan itu bukan bermaksud tiada langsung kes jangkitan dilaporkan, sebaliknya menunjukkan ketiadaan rantaian penularan tempatan yang berterusan.

Selain AS, Mexico dan Bolivia turut kehilangan pengiktirafan sebagai negara bebas campak.

Sejak awal 2025, beberapa wabak penyakit berjangkit itu dilaporkan berulang kali di AS. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu merekodkan kira-kira 5,400 kes setakat tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda berbanding keseluruhan kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Beberapa kematian akibat campak turut dilaporkan, termasuk melibatkan kanak-kanak.

-Advertisement-

CDC turut memaklumkan bahawa lebih 100 wanita hamil dan sekurang-kurangnya 13 bayi baru lahir dijangkiti penyakit berkenaan dalam tempoh dua tahun lalu.

Pakar mengaitkan peningkatan penularan itu terutamanya dengan penurunan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk.

Data CDC menunjukkan kadar liputan vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) bagi kanak-kanak tadika menurun daripada 95.2 peratus kepada 92.4 peratus dalam tempoh enam tahun.

WHO menetapkan liputan vaksinasi sekurang-kurangnya 95 peratus bagi dua dos vaksin sebagai tahap yang diperlukan untuk mencegah penularan campak secara berterusan. – The Capital Post